salam untuk rakan2 budiman,

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang mukmin selepas kematiannya akan terus mendapat ganjaran daripada amal kebaikannya iaitu melalui ilmu yang dipelajari lalu diajarkan kepada orang lain dan terus disebarkannya. Anak-anak yang soleh yang ditinggalkan. Al-Quran yang diwariskan atau masjid-masjid yang dibinanya atau rumah-rumah musafir diperjalanan yang didirikannya atau anak-anak sungai yang dialirinya atau sedekah yang dikeluarkan daripada hartanya ketika sihat dan hidupnya yang berterusan selepas kematiannya. (HR Ibnu Majah)

Terima kasih di atas sokongan kepada pihak kami yg masih mentah ini.

Selamat menjamu mata....


Thursday, August 30, 2012

Aku, Lim dan Islam


Aku punya seorang rakan baik dari zaman kanak-kanak. Lim Wei Choon. Sana-sama bersekolah rendah hingga ke peringkat menengah . Selepas SPM, aku masuk ke Tingkatan 6, manakala Lim dihantar keluarganya melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat.

Kenangan sewaktu kanak-kanak hingga ke zaman remaja terlalu banyak yang dikongsi bersama. Setiap kali hariraya menjelang, Lim pasti berkunjung ke rumah ku untuk menikmati dodol arwah ayahku yang amat digemarinya. kadangkala, jika ada kenduri kendara dirumahku, pasti Lim akan turut serta. Aku jarang ke rumahnya kecuali umtuk beberapa sambutan seperti harijadi dan juga Tahun Baru Cina. Aku takut dengan anjing peliharaan keluarga Lim. Dengan Lim juga aku belajar matematik manakala subjek Bahasa Malaysia sering menjadi rujukannya padaku. Kenangan-kenangan seperti memancing, mandi jeram, ponteng sekolah untuk melihat pertandingan 'breakdance', semuanya kami kongsi bersama-sama. Apa yang ingin kunyatakan ialah, warna kulit dan perbezaan ugama tidak pernah menjadi penghalang persahabatan kami.

20 tahun telah berlalu, Lim telah menetap di Amerika setelah berjaya mendapat Green Card, beliau bekerja disana. Itu yang ku ketahui dari kakaknya. Hubungan ku dengan Lim terputus setelah dia melanjutkan pelajaran. maklumlah, dizaman kami dulu tiada internet, email atau telefon bimbit, yang ada cuma sesekali menghantar poskad bertanya khabar. Untuk menulis surat kepada lelaki amat malas kami rasakan.

Suatu pagi, aku bertembung dengan kakak Lim di pasar , kakaknya memberitahu Lim akan pulang ke tanahair. Dan aku amat terkejut dengan berita yang kudengar dari kakaknya. " He's name is no more Lim Wei Choon. He's now Ahmad Zulfakar Lim Abdullah since 5 years ago. ..Subhanallah! Syukur Alhamdulillah, rakan baikku telah menemui hidayah dari Allah S.W.T. Memang aku tak sabar untuk berjumpa dengannya lebih-lebih lagi setelah menjadi saudara seagama denganku.

Hari yang kutunggu-tunggu telah tiba, dan petang itu aku berkesempatan bertemu dengan Lim dirumahnya. Ada satu keraian istimewa sempena menyambut kepulangannya. Ketika aku tiba, tetamu sudah semakin berkurangan.

Assalamualaikum....Itulah kalimat pertama dari mulutnya, wajahnya sudah jauh berubah, air mukanya amat redup dan tenang.
Aku menjawab salam dan berpelukan dengannya dan kami menangis umpama kekasih yang sudah terlalu lama terpisah.

'Ini dia olang memang sudah manyak lama kawan, dari kecik ini dua olang" Ibu Lim menjelaskan pada beberapa orang tetamu yang melihat peristiwa kami berpelukan dan menangis itu. Tetapi aku bukan menangis kerana apa, tetapi kerana amat sebak dan terharu dan sangat bersyukur melihat keislaman rakanku.

Lim mengajak aku duduk dibuaian dihalaman rumahnya untuk berbual-bual. beliau masih fasih berbahasa melayu walau sudah lama berada diperantauan.



Talha, kau kawan baik aku kan? betul tak?...

Memanglah..kenapa kau tanya macam tu?

kalau kau kawan baik aku, kenapa kau biarkan aku diseksa?

Sori Lim, aku tak faham..diseksa? What do you mean?

Cuba kau fikir, kita ni kawan dari kecil, aku ingat lagi, rumah kau tu, is my second house. Tapi, mengapalah kau tak pernah ceritakan pada aku tentang Islam? Mengapa aku kena pergi ke US baru aku dapat belajar tentang Islam? Mengapa bukan di Malaysia, negara Islam ni? Dan mengapa aku di Islam kan oleh seorang bekas paderi kristian?
Aku terdiam, kelu tak mampu menjawab. Dan Lim terus berkata-kata.

Kalau betullah kau kawan baik aku, kenapa kau cuma nak baik dengan aku di dunia saja? kau suka tengok kawan baik kau ni diseksa didalam api neraka?

Kau tahu, kalaulah aku ni tak sempat masuk islam hingga aku mati, aku akan dakwa semua orang melayu Islam dalam kampung kita ni sebab tak sampaikan dakwah dan risalah Islam pada aku, keluarga aku dan non muslim yang lain.

Kau sedar tak, kau dah diberikan nikmat besar oleh Allah dengan melahirkan kau didalam keluarga Islam. tapi, nikmat itu bukan untuk kau nikmati seorang diri, atau untuk keluarga kau sendiri, kau dilahirkan dalam Islam adalah kerana ditugaskan untuk sampaikan Islam pada orang-orang yang dilahirkan dalam keluarga bukan Islam macam aku.

Aku masih tunduk dan terkata apa-apa kerana sangat malu.

Berdakwah adalah tugas muslim yang paling utama, sebagai pewaris Nabi, penyambung Risalah. Tetapi apa yang aku lihat, orang melayu ni tiada ada roh jihad, tak ada keinginan untuk berdakwah, macamana Allah nak tolong bangsa melayu kalau bangsa tu sendiri tak tolong ugama Allah?

Aku bukan nak banggakan diri aku, cuma aku kesal..sepatutnya nikmat ini kau kena gunakan dengan betul dan tepat, kerana selagi kau belum pernah berdakwah, jangan kau fikir kau sudah bersyukur pada Allah. Dan satu lagi, jangan dengan mudah kau cop orang-orang bukan Islam itu sebagai kafir kerana kafir itu bererti ingkar. Kalau kau dah sampaikan seruan dengan betul, kemudian mereka ingkar dan berpaling, barulah kau boleh panggil kafir.

Aku menjadi amat malu, kerana segala apa yang dikatakan oleh Lim adalah benar! dan aku tak pernah pun terfikir selama ini, aku hanya sibuk untuk memperbaiki amalan diri sehingga lupa pada tugasku yang sebenar. Baru aku faham, andainya tugas berdakwah ini telak dilaksanakan, Allah akan memberikan lagi pertolongan, bantuan dan kekuatan serta mempermudahkan segala urusan dunia dan akhirat sesorang itu.

Petang itu aku pulang dengan satu semangat baru, aku ingin berdakwah! Lim yang baru memeluk Islam selama 5 tahun itu pun telah mengislamkan lebih 20 orang termasuk adiknya. Mengapa aku yang hampir 40 tahun Islam ini (benarkah aku islam tulen) tidak pernah hatta walau seorang pun orang bukan Islam yang pernah kusampaikan dengan serious tentang kebenaran Islam?

Semoga Allah mengampuni diriku yang tidak faham apa itu erti nikmat dilahirkan sebagai Islam.


Artikel asal susunan : arjunasetia

Terbit untuk forum iluvislam pada 22hb April 2010 (LINK)

Juga untuk Portal Komuniti Ukhwah pada 8hb Jun 2010 (LINK)

Terbit untuk iluvislam (English Version) pada 15hb Jun 2012 (LINK)

Jutaan terimakasih kepada rakan FB, saudara Abdullah dari Jeram Pasu yang berkongsi artikel ini di laman facebook beliau

Dan juga kepada saudara Topeng Perak Unmask dan Tiki MD yang berusaha menyebarkannya melalui email yahoo groups.

Jutaan Penghargaan kepada Ustaz Abdul Halim yang sudi mengulas artikel ini:

Sebahagian pengajaran dari kisah benar di atas ialah :

1. Ramai orang Melayu Islam di Malaysia gagal memahami hakikat kelahiran mereka di dunia ini, iaitu untuk menjadi pendakwah dan contoh tauladan kepada masyarakat dan umat yang lain. “Demikianlah kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi-saksi (pembawa risalah Islam) keatas manusia lain, dan Rasul menjadi saksi (pembawa risalah Islam) keatas kamu” (Al-Quran).

2. Bahkan lebih asas dari itu ramai orang Melayu di Malaysia yang gagal memahami dan menghayati Islam itu sendiri, sedang mereka dilahirkan siap beragama Islam dan pergi sekolah setiap hari sejak kecil.

3. Apabila Lim mendapat cahaya Islamnya di Amerika, ini menunjukkan betapa di sebuah negara Barat lagi Kristian, terdapat orang-orang Islam di sana walaupun dari kalangan minoriti yang bekerja keras menunjukkan kepada manusia akan jalan kebenaran, berbanding dengan ramainya orang Melayu yang majoriti di negara Malaysia.

4. Lim sangat memahami firman Allah swt di atas. Oleh itu beliau menyebut perkataan ” .. aku akan dakwa semua orang melayu Islam di dalam kampung kita … “. Setiap insan yang diamanahkan untuk menyampaikan Islam dalam bentuk perkataan (mengajak) dan perbuatan (contoh teladan), tetapi tidak menunaikan tugasan dan tanggungjawab tersebut, boleh bahkan akan didakwa oleh Allah swt kelak di Hari Kiamat. Mereka juga menjadi orang-orang yang didakwa oleh orang-orang sekeliling mereka yang tidak mendapat Risalah ini sedang mereka berjiran, berkawan dan berkenalan.

5. Lim seorang yang sangat menghargai Islam yang dimilikinya serta seorang yang bekerja keras demi mencapai cita-cita. Dalam masa 5 tahun sahaja, beliau telah mengislamkan 20 orang termasuk ada dari kalangan adik beradiknya sendiri. Jika orang Melayu tidak dapat mengislamkan 20 orang kafir untuk menyayingi Lim dalam perkara kebaikan, apa kata mereka berusaha mengajak 20 orang Melayu Islam ke masjid dan kuliah-kuliah agama ? Atau mereka sendiri telah jauh dari mengunjungi rumah-rumah ibadat kepada Allah swt ? “Sesungguhnya orang-orang yang memakmurkan surau dan masjid ALlah adalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat” (Al-Quran).

6. Ramai orang-orang Melayu hari ini membandingkan prestasi hidup sesama mereka dengan nilaian material seperti saiz dan rekabentuk rumah dan perhiasan, jenis kereta dan jumlah harta terkumpul, tetapi sepatutnya mereka membanding-banding sesama mereka sejauhmanakah prestasi projek Dakwah yang masing-masing sedang usahakan seperti majallah, tadika Islam, pusat tahfiz, rumah kebajikan dan anak yatim, pembinaan masjid dan surau, penganjuran kuliah dan kursus agama di masjid , surau dan institusi-institusi, projek kesenian Islam seperti merekod nasyid, pementasan dan kebudayaan Islam, penulisan artikel, cerpen, buku, novel dan blog Islam serta banyak lagi projek-projek Islam yang menanti dan boleh mereka lakukan demi berdepan dengan projek pemusnahan akhlak umat yang sedang dan berjaya dilakukan oleh musuh-musuh Islam dalam berbagai bidang kehidupan moden hari ini.

Semoga Allah swt memelihara kita dari kemurkaanNya lantaran kealpaan dan kelalaian ramai masyarakat kita dari tanggungjawab mereka sebagai hamba ALlah. Moga Allah memilih kita sebagai pendokong-pendokong agamaNya selagi nyawa belum bercerai badan. “Ya Allah jangan Engkau palingkan hari-hati kami setelah Engkau beri petunjuk kepada kami. Kurniakanlah kepada kami rahmatMu. Sesungguhnya Engkau sangat suka memberi” (Al-Quran).

Ustaz Halim
www.inijalanku.wordpress.com

"Moga kisah ini akan membawa menafaat kepada kita semua. Dan kepada yang mengirimkannya kepada saya, tiada ucapan yang lebih berharga melainkan doa moga ALLAH memberkati usaha mulia ini. Dan kepada penulis kisah ini, siapa juga saudara atau saudari, moga pengalaman itu menjadi mutiara buat pencetus kepada usaha da'wah dan menghidupkan serta melaksanakan salah satu sifat Rasulullah: tabligh!"
~YB Zulkifli Nordin LINK

Nota kaki:


Mungkin ramai yang tertanya-tanya, apakah kisah ini kisah benar. Biarlah ianya menjadi rahsiaku. Sebarang perkongsian terhadap artikel ini sangat dialu-alukan, jika ingin melakukan pertukaran gaya bahasa untuk kesesuaian, tidak mengapa tetapi tak perlulah ditukar nama-nama watak yang ada kepada Lim Eng Choon, Ah Siong, Amirul atau pun Farid, cubalah beretika dan beradap serta menghormati hak penulis dalam berdakwah.

"Runtuhkan toghut! dan tegakkan Islam diatas keruntuhan itu! dan sesungguhnya Islam itu tidaklah tertegak dengan semangat semata-mata, melainkan dengan ILMU"

Tuesday, August 28, 2012

Hebatnye...

Prof Dr Muhaya:

"Saya berkesempatan utk bertemu dgn ibu kepada seorang ilmuwan agama (ustaz) yang tersohor pada masa kini. Melihatkan kpd kebolehan anaknya dalam menyampaikan dakwah, maka saya bertanya kepada ibunya, apakah rahsia beliau dalam mendidik si anak? Jawab si ibu, sewaktu si anak (ustaz) dilahirkan, beliau telah mengambil keputusan utk berhenti kerja ...bagi menumpukan sepenuh perhatian beliau utk menyusukan anaknya selama genap 2 tahun. Selain itu, pada setiap malam, apabila mereka suami isteri dikejutkan si anak utk menyusu, suami beliau akan turut sama bangun. Suaminya akan menyediakan susu kepadanya utk minum sambil beliau menyusukan anaknya itu. Suaminya tak benarkan beliau menyusu sambil baring. Sebaliknya, suaminya akan menyediakan belakang badannya utk beliau bersandar menyusukan anak sambil duduk dan memastikan keselesaan semasa menyusu. Bayangkan bagaimana emosi si isteri apabli setiap malam dilayan sebegitu oleh si suami"

SUBHANALLAH...indahnya alam rumah tangga jika bersandarkan amanah dan kasih sayang kerana Allah. Tak mustahil jika mereka dapat melahirkan generasi yang baik akhlaknya.

Monday, August 27, 2012

Renungan kebaikan selawat

“Barang siapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah menurunkan rahmat kepadanya sepuluh kali.” (Hadis riwayat Muslim dari Abu Hurairah) dan dalam hadis yang lain pula disebut, “Barangsiapa berselawat untukku di pagi hari sepuluh kali dan di petang hari sepuluh kali, mendapatlah ia syafa’atku pada hari kiamat.” (Hadis riwayat at-Tabrani)



Berselawatlah kerana baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Berselawatlah kamu kepadaku, kerana selawat itu menjadi zakat (penghening jiwa dan penghapus dosa) bagimu.” (Hadis riwayat Ibn Murdaweh) dan sabda baginda lagi yang bermaksud, “Manusia yang paling utama terhadap diriku pada hari qiamat, ialah manusia yang paling banyak bershalawat untukku.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Selawat begitu penting dalam kehidupan kita. Mengapa dikatakan penting? Firman Allah SWT lagi yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah SWT dan para Malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Maka, wahai mereka yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya dengan sebaik selawat dan salam.” (Surah al-Ahzab 33:56)

Umat Muhammad SAW sepatutnya tidak memandang remeh akan kepentingan ber kerana Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang telah memperlihatkan betapa kasih dan sayang-Nya kepada Rasulullah SAW dengan berselawat kepadanya sebagai pujian-Nya dan memuliakan serta mengutamakan Rasulullah SAW di hadapan para malaikat-Nya. Para malaikat juga turut melahirkan keutamaan ke atas Rasulullah SAW dengan mendoakan, mengucap selawat dan memohon keampunan baginya.



Renung-renungkan dan mari beramal!