salam untuk rakan2 budiman,

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang mukmin selepas kematiannya akan terus mendapat ganjaran daripada amal kebaikannya iaitu melalui ilmu yang dipelajari lalu diajarkan kepada orang lain dan terus disebarkannya. Anak-anak yang soleh yang ditinggalkan. Al-Quran yang diwariskan atau masjid-masjid yang dibinanya atau rumah-rumah musafir diperjalanan yang didirikannya atau anak-anak sungai yang dialirinya atau sedekah yang dikeluarkan daripada hartanya ketika sihat dan hidupnya yang berterusan selepas kematiannya. (HR Ibnu Majah)

Terima kasih di atas sokongan kepada pihak kami yg masih mentah ini.

Selamat menjamu mata....


Thursday, June 21, 2012

Jangan Berhenti Minum Susu

Amalan minum susu lazimnya beransur-ansur hilang apabila seseorang kanak-kanak itu sudah semakin membesar. Akan tetapi, ini bukanlah yang sepatutnya kerana susu perlu diambil seumur hidup.

Semua orang tahu bahawa susu merupakan makanan utama bayi sepanjang tahun pertama kelahirannya dan pengambilan susu ini masih lagi menjadi keutamaan beberapa tahun berikutnya. Bayi berusia di bawah 12 bulan perlu minum susu ibu kerana kandungan nutrien yang ada di dalamnya terbaik dan memang dicipta khas untuk mereka. Selepas itu, apabila sudah berusia lebih kurang dua tahun barulah kanak-kanak diperkenalkan kepada susu formula.

Pengambilan susu ini pula perlulah berterusan sehingga dewasa. Walau bagaimanapun, kebanyakan kanak-kanak di Malaysia mula meninggalkan rutin minum susu sedikit demi sedikit sebaik sahaja mereka sudah makan makanan pejal. Hal ini berlaku mungkin kerana susu hanya dianggap sebagai makanan untuk bayi. Jadi, apabila sudah pandai makan makanan lain, mereka sudah tidak perlukan susu.

Tanggapan ini nyata salah kerana susu sangat penting dalam kehidupan seharian semua orang terutamanya kanak-kanak sedang membesar. Untuk pengetahuan, susu merupakan sejenis makanan yang sangat kaya dengan pelbagai khasiat. Susu mengandungi vitamin A, kumpulan vitamin B, magnesium, fosforus, zink dan kalsium. Selain itu, susu turut membekalkan protein yang diperlukan untuk pembinaan tisu serta karbohidrat dan lemak berfungsi sebagai pembekal tenaga.

Walau bagaimanapun, dalam banyak-banyak vitamin dan mineral yang terkandung dalam susu, kalsium menjadikannya begitu istimewa. Kalsium diperlukan untuk pelbagai proses tubuh yang penting. Antaranya ialah untuk aliran saraf, pengawalan denyutan jantung, pengecutan otot dan penyembuhan luka. Selain itu, kalsium apabila bergabung dengan protein, vitamin D, fosforus dan magnesium akan membantu pembentukan tulang dan gigi yang kuat dan sihat.

Ketahuilah bahawa manusia perlukan kalsium seumur hidup. Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak sedang membesar memerlukan lebih banyak kalsium berbanding orang dewasa. Kekurangan kalsium ketika proses tumbesaran menyebabkan kanak-kanak tidak dapat mencapai ketumpatan tulang maksimum seterusnya boleh meningkatkan risiko mendapat osteoporosis apabila dewasa kelak.

Pengambilan kalsium secukupnya berupaya memastikan pembentukan tulang dan gigi yang kuat. Kalsium paling senang diperoleh daripada susu dan produk tenusu. Kalsium susu paling mudah diserap dan diguna oleh tubuh. Kalsium tidak boleh dihasilkan sendiri oleh tubuh. Hal ini bermakna, kanak-kanak perlu mengambil susu dan produk tenusu setiap hari. Kebanyakan kanak-kanak berusia di bawah lima tahun mendapat 70 peratus kalsium mereka daripada susu lembu, 20 peratus daripada produk tenusu seperti keju dan 10 peratus daripada bijirin sarapan pagi.

Sekiranya anak anda tidak boleh mengambil susu lembu, berikanlah dia susu soya. Walau bagaimanapun, kalsium yang terkandung dan susu soya dan produknya tidak sebanyak yang ada dalam susu lembu melainkan ditambah semasa proses pengilangan. Tauhu merupakan sumber kalsium terbaik daripada produk hiliran soya.

Bagi kanak-kanak yang langsung tidak boleh minum susu lembu dan susu soya, alternatifnya ialah ikan-ikan yang boleh dimakan tulangnya seperti ikan sardin dan ikan bilis. Selain itu, mereka juga boleh mendapat kalsium daripada sayuran hijau, kekacang dan bijirin. Bagi yang ingin memberi anak tablet kalsium, anda mesti berjumpa pakar pediatrik terlebih dahulu supaya tahu kuantiti sebenar yang diperlukan oleh anak.


Sumer: Majalah Pa&Ma

No comments:

Post a Comment