salam untuk rakan2 budiman,

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang mukmin selepas kematiannya akan terus mendapat ganjaran daripada amal kebaikannya iaitu melalui ilmu yang dipelajari lalu diajarkan kepada orang lain dan terus disebarkannya. Anak-anak yang soleh yang ditinggalkan. Al-Quran yang diwariskan atau masjid-masjid yang dibinanya atau rumah-rumah musafir diperjalanan yang didirikannya atau anak-anak sungai yang dialirinya atau sedekah yang dikeluarkan daripada hartanya ketika sihat dan hidupnya yang berterusan selepas kematiannya. (HR Ibnu Majah)

Terima kasih di atas sokongan kepada pihak kami yg masih mentah ini.

Selamat menjamu mata....


Tuesday, June 19, 2012

Susu soya bagi bayi alahan protein susu lembu

SUSU ibu merupakan makanan terbaik untuk bayi dan telah terbukti ia mampu menguatkan daya ketahanan untuk menentang cirit-birit, ruam, alahan, jangkitan telinga dan masalah kesihatan yang lain.
Namun, sesetengah ibu terpaksa berhenti menyusukan anak mereka lebih awal daripada tempoh sepatutnya akibat beberapa faktor, seperti kesibukan berkerja, air susu berkurangan dan menggantikannya dengan susu rumusan.

Pada waktu ini kebanyakan ibu cenderung memilih susu rumusan berasaskan susu lembu untuk anak mereka.
Namun, kajian terbaru menunjukkan bahawa terdapat beberapa kes kanak-kanak atau bayi tidak dapat menerima rumusan berasaskan susu lembu setelah ibu berhenti menyusukan anak mereka dengan susu ibu.
Kanak-kanak ini mudah mengalami kerengsaan, menangis selama berjam-jam (kembung) dan sebahagian daripada mereka mungkin mengalami ruam, ekzema, cirit-birit atau muntah. Keadaan ini dikenali sebagai alahan kepada protein susu lembu (APSL).

APSL adalah tindak balas luar biasa sistem imun terhadap protein yang terdapat di dalam susu rumusan berasaskan susu lembu.Susu lembu merupakan bahan alahan yang paling umum dihadapi kanak-kanak. Ia mengandungi lebih daripada 30 bahan protein dan banyak antara bahan-bahan ini mampu mencetuskan tindak balas alahan.Kanak-kanak yang mengalami APSL menunjukkan gejala-gejala alahan sejurus selepas mengambil susu atau produk-produk yang mengandungi susu lembu.

Menurut Pakar Pediatrik, Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr. Choy Yew Sing, terdapat tiga peringkat gejala umum alahan kepada protein susu lembu yang mengakibatkan komplikasi kesihatan pada kulit, usus dan sistem pernafasan.

Peringkat pertama, reaksi APSL segera, iaitu alahan muncul secara tiba-tiba selepas 45 minit meminum susu.Antara gejalanya termasuk kolik, cirit-birit, muntah-muntah, ruam, ekzema, sesak nafas atau bersin.
Reaksi di peringkat yang kedua muncul antara 45 minit hingga 20 jam setelah meminum susu lembu, yang mana antara gejalanya ialah muntah dan cirit birit. Manakala reaksi lambat pula ialah gejala alahan muncul 24 jam selepas meminum susu seperti cirit-birit, ekzema, sesak nafas dan bersin.

Kejadian APSL di kalangan bayi dilaporkan antara 0.5 peratus hingga 7.5 peratus. Kejadian ini lebih tinggi di kalangan kanak-kanak berbanding orang dewasa. Sejarah keluarga dipercayai merupakan punca utama yang menyebabkan APSL. Seorang kanak-kanak dipercayai mempunyai risiko yang lebih tinggi terhadap alahan kepada susu lembu jika abang atau kakaknya juga menghadapi alahan yang sama.

Memberi susu rumusan yang berasaskan susu lembu pada usia lebih awal juga dianggap mempunyai kaitan dengan peningkatan kejadian APSL.“Protein susu telah dibahagikan kepada dua jenis protein utama iaitu kasein dan wei. Kasein ialah protein susu yang paling biasa digunakan dalam industri makanan. “Proses penghadaman protein akan menghasilkan lebih 100 jenis antigen berlainan yang berpotensi untuk mencetus reaksi alahan. Pecahan setiap protein susu yang dihadamkan ini mungkin akan mencetuskan pengeluaran antibodi tertentu yang seterusnya mengakibatkan tindak balas imunisasi yang berlainan dan kompleks,” katanya.

Menurutnya, jika ibu bapa mengesyaki anak-anak mereka menunjukkan salah satu daripada gejala-gejala yang disebutkan tadi, boleh berhubung segera dengan doktor untuk mendapatkan nasihat kesihatan.
“Adalah penting untuk mendapatkan diagnosis yang tepat sebelum mencuba sebarang cara penyelesaian,” katanya. Setakat ini menurut Yew Sing, tiada rawatan terhadap kanak-kanak yang menghidapi APSL dan langkah utama untuk menanganinya ialah dengan mengelakkan pengambilan susu lembu dan mengganti-kannya dengan makanan yang bebas daripada protein susu lembu.

Menurut Pakar Pemakanan dari Pusat Perubatan Menara Berkembar KLCC, Farah Diba Khan, dari segi pemakanan kanak-kanak boleh diberikan susu rumusan alternatif seperti susu rumusan hidrolisis terperinci, susu rumusan amino asid atau susu rumusan berasaskan soya.“Susu rumusan hidrolisis terperinci dan susu rumusan amino asid amat berkesan dan mempunyai kadar toleransi yang baik di kalangan kanak-kanak yang menghidap APSL. “Bagaimanapun, kedua-dua jenis susu rumusan ini adalah mahal dan rasanya tidak begitu sedap di mana ibu mungkin terpaksa memujuk anak untuk meminumnya,” katanya.

Susu rumusan separa hidrolisis pula adalah tidak selamat dan tidak disarankan untuk rawatan APSL kerana berupaya menyebabkan reaksi alahan.Alternatif terbaik untuk diberikan kepada bayi atau kanak-kanak adalah susu rumusan berasaskan soya yang telah digunakan bagi menggantikan susu lembu sejak tahun 1909 lagi.

Pada tahun 1929, rumusan berasaskan soya telah digunakan sebagai rumusan gantian bagi kanak-kanak yang menghadapi APSL. “Alahan terhadap soya tidak sekerap seperti alahan kepada protein susu lembu. Bagaimanapun, dianggarkan 10 hingga 35 peratus daripada kanak-kanak yang menghadapi alahan kepada protein susu lembu juga dilaporkan tidak dapat menerima protein soya.“Namun, dari segi nilai pemakanan, susu rumusan berasaskan soya kaya dengan nutrein penting yang diperlukan untuk tumbesaran dan perkembangan yang sihat.

“Sumber protein rumusan berasaskan soya dikenali sebagai asingan protein soya. Ia merupakan protein berkualiti tinggi yang dapat membekalkan sembilan jenis asid amino yang penting bagi memenuhi keperluan tumbesaran kanak-kanak,” katanya.

Akademi Jawatankuasa Pemakanan Pediatrik Amerika (AAPCON) mengesahkan bahawa susu rumusan berasaskan soya adalah selamat untuk diminum dan mampu membekalkan nutrien yang mencukupi untuk menyokong tumbesaran dan perkembangan bayi yang sihat.

Oleh: Rosmah Dain

No comments:

Post a Comment