Pendapat mengatakan susu perahan yang cair merupakan petanda susu semakin berkurangan adalah tidak benar sama sekali. Hakikatnya, susu ibu tidak sama dengan susu formula. Susu ibu memang kelihatan agak cair. Namun, tidak bermakna susu yang cair itu tidak baik. Sebenarnya, ia cukup sempurna!
Salah satu keunikan susu ibu yang mungkin tidak diketahui ramai adalah ia berubah mengikut cuaca. Sekiranya hari panas, susu yang dihasilkan lebih cair daripada biasa supaya bayi mendapatkan lebih banyak air. Jika cuaca sejuk pula, susu menjadi lebih pekat dan berlemak berbanding biasa.
Malah, jika meninggalkan susu perahan di dalam bekas buat seketika, didapati dua lapisan terbentuk iaitu berlemak (hindmilk) dan cair (foremilk). Kandungan susu ibu adalah 88% air! Jadi, tidak hairanlah mengapa lapisan yang cair itu lebih banyak daripada yang pekat.
Ini merupakan sebab utama mengapa bayi kurang daripada enam bulan tidak perlu diberikan sebarang tambahan air. Dia hanya perlu minum susu ibu semata-mata!
Sebagai panduan untuk memastikan bayi membesar dengan normal, purata pertambahan berat badan bagi bayi yang menyusu secara esklusif dalam tempoh 0 hingga 4 bulan adalah 142g hingga 198g seminggu.
Secara amnya, bayi yang menyusu susu ibu akan menggandakan berat badannya ketika lahir setelah mencecah 3 atau 4 bulan. Apabila mencecah 1 tahun, berat badannya adalah 2.5 atau 3 kali berat ketika lahir.
No comments:
Post a Comment